Rabu, 26 Mei 2010

Novel Bersiri Tiada Lagi Cinta : Bab 1 (Bahagian 1)



Bab 1
1.1
Petang itu sungguh indah. Langit biru yang terbentang menyerkup alam itu ditompoki oleh awan-awan putih nipis di sana sini. Percikan-percikan warna itu menawarkan pemandangan tercantik untuk santapan setiap mata yang mahu merenung. Sang mentari tidak lokek bersinar. Beberapa kumpulan burung sedang terbang melayah-layah di dada langit itu. Menghidupkan langit yang tadi kelihatan seakan kejang tanpa kelibat mereka. Dan di tanah, di sebuah halaman rumah, keadaan begitu meriah juga. Halaman rumah itu meriah oleh pelbagai ragam dan suara anak-anak. Anak-anak yang sentiasa riang tidak kira apa yang melanda.
Halaman rumah itu besar. Bertanah tanpa sehelai rumput pun. Kiri kanannya dipagari oleh sebaris pokok kelapa kampung dan renik. Di depan dan keliling beranda, pelbagai jenis pokok bunga kertas pelbagai warna yang ditanam di dalam pasu-pasu bunga tersusun rapi. Di atas beranda itu, pelbagai pokok bunga seperti subang berlian dan orkid tergantung di dalam pasu-pasu kecil yang amat comel. Di tengah-tengah halaman rumah itu kelihatan sekumpulan lima orang budak.
Mereka sedang berbincang untuk berlawan tarik upih. Dua keping upih sudah pun mereka perolehi dari pokok pinang di belakang rumah Opah Semah. Dan kepingan-kepingan upih itu sudah pun berada di tangan Zali dan Manap Buncit. Yang menjadi
perbincangan sekarang ialah siapa yang akan menjadi pasangan untuk Zali dan Manap Buncit itu. Mereka berdua berebutkan Li yang kurus sedikit berbanding Ramli. Masing-masing tidak mahu membawa beban berat lebih. Masing-masing tidak rela kalah.
Akhirnya, perebutan itu diputuskan melalui ‘kopi’. Itu jalan akhir terbaik setelah cara diplomasi tidak berguna lagi. Zali dan Manap Buncit mula menyorokkan genggaman jari kanan mereka di belakang badan masing-masing. Zali memilih ‘ko’. Manakala Manap Buncit memilih ‘pi’.
“Ko---” kata Zali, memulakan penentuan itu, “—pi!”
Serentak itu Zali dan Manap Buncit menunjukkan bilangan jari yang sudah difikirkan mereka sebelum itu. Zali mengeluarkan empat batang jari dan sebatang jari lagi disimpannya di bawah tapak tangan. Dan Manap Buncit pula dengan dua batang jari terjulur keluar dan tiga batang jari lagi disembunyikannya di bawah tapak tangan.
Zali melakukan tugas seterusnya untuk menentukan siapa yang menang untuk pusingan pertama itu. “Ko, pi, ko, pi, ko dan …” Zali mendegus lebih awal. Tahu dirinya kalah. “… pi,” sambungnya.
Manap Buncit ketawa kuat-kuat. Melompat seronok macam kera dapat bunga. Gembira tidak terkata kerana menang. Biarpun kemenangannya itu belum kemenangan mutlak. Bagi anak kecil seperti Manap Buncit, sedikit kemenangan adalah kegemilangan yang tak terucap.
“Lagi dua kali,” tegur Zali. Mengingatkan Manap Buncit supaya tidak berpesta terlalu awal.
Manap Buncit mengangguk faham. “Kalau aku menang sekali lagi habislah engkau …” balas Manap Buncit, melancarkan perang saraf.
“Cepat! Cepat!” arah Jalut yang berlagak sebagai pegawai perlumbaan.
Penentuan pusingan kedua pun berlangsung. Dan Manap Buncit memang berhak untuk berpesta awal tadi kerana menang lagi untuk pusingan kedua ini. Kali ini Manap Buncit berpesta pora. Berlari sekeliling Zali sambil menjelir-jelirkan lidah, mengejek-ngejeknya. Li rasmilah sudah menjadi pasangan Manap Buncit. Sementara Ramli pula sahlah sudah menjadi pasangan Zali. Zali tidak membantah apa-apa selepas itu. Keputusan sudah dicapai dengan adil. Mengeluh selamanya tidak akan membawanya ke mana-mana. Zali tidak akan mengalah hanya kerana terpaksa berpasangan dengan Ramli yang berisi sedikit. Zali nekad untuk memastikan kemenangan berpihak kepadanya. Zali memang jenis anak yang tidak mudah putus asa. Semangat melawan itulah yang membolehkannya cemerlang di dalam pelajaran dan sukan.
Perlumbaan tarik upih itu dimulakan beberapa saat kemudian.
“Sa---tu. Du---a. Ti---” Jalut berhenti membilang. Enggan melepaskan perlumbaan tarik upih itu. Ada idea nakal yang terjun menjunam ke dalam kepalanya. “Satu. Dua. Ti---ga kucing berlari. Mana nak sama si kucing belang. Dua tiga boleh kucari. Mana nak sama Siah seorang!” kata Jalut, menyanyikan serangkap pantun rakyat itu sambil meloncat-loncat seronok macam beruk. Jalut memang sukakan Siah, anak pak imam Leman yang duduk di rumah sebelah. Pernah memberitahu kawan-kawan yang dia
hendak berkahwin dengan Siah bila besar nanti. Tengah kumpul duit dalam tabung buluh. Bila duitnya cukup, akan disuruh emaknya pergi masuk meminang Siah cepat-cepat.
Zali yang sudah terlajak berlari ke hadapan terhenti dari menarik upih yang diduduk oleh Ramli itu. “Hoi! Cop, cop. Apa ni Jalut? Sebutlah betul-betul,” kata Zali, terganggu dengan usikan Jalut itu, kembali ke garisan mula. Dalam situasi begitu, kecerdikan mengambil tempat. Zali tahu kalau dia meneruskan juga larian itu tentunya kekalahan dalam genggamannya. Manap Buncit berlepas baik tadi sedangkan dia tertegun-tegun dek usikan Jalut.
Manap Buncit segera memberhentikan lariannya. Mendengus kuat. Tidak puas hati kerana sudah mendahului Zali lebih dua langkah. Berpusing dan menarik upih ke garisan mula sambil mulutnya kumat kamit merungut. Li pula kelihatan seronok. Seronok ditarik oleh Manap Buncit. Tetapi ketawa kecilnya itu sirna bila ditengking : “Hoi, turunlah! Engkau ingat aku ni apa? Kuli?” Manap Buncit membeliakkan matanya. Li bangun sambil tersengih-sengih. Berjalan bersama Manap Buncit ke garisan mula. Bila sampai di situ, Manap Buncit terus memberi amaran kepada Jalut. “Dua, tiga, kucing berlari, ya? Engkau nampak ni? Kena sekali bertabur gigi,” kata Manap Buncit sambil menunjukkan sekepal penumbuk ke arah Jalut yang sudah tersengih-sengih. “Jangan salahkan aku kalau penumbuk ni lekat di muka engkau nanti,” sambung Manap Buncit lagi.
Jalut mengangguk. Jalut tahu Manap Buncit jarang bermain-main. Pembuli itu cakap serupa bikin. Dan kali ini Jalut akan lebih bersungguh-sungguh. Tidak mahu mengacah lagi. Cukuplah sekali. Dua kali, silap-silap rongak.
“Ke garisan…” jerit Jalut sambil berdiri bersetentang dengan satu garisan lurus lintang yang dilukis oleh Zali di atas tanah tadi.
Zali dan Manap Buncit ambil tempat masing-masing. Bersedia di garisan mula itu macam atlet 1 500 meter hendak memulakan perlumbaan. Genggam hujung upih erat-erat dan mengarah pasangan masing-masing memegang ketat-ketat tepi upih. Selepas itu, Zali dan Manap memfokus ke hadapan. Sengaja mencabar diri dengan melihat garisan penamat yang ditandai oleh dua ketul batu sebesar penumbuk anak-anak itu.
“Sa---tu. Du---a. Ti---,” Jalut berhenti mengira. Mengosongkan tekaknya yang tiba-tiba dipenuhi kahak. Kemudian menyambung kira selepas membuang setompok kahak kental itu ke tanah. “Ti---ga!!!”
Perlumbaan tarik upih antara Zali-Ramli dan Manap buncit- Li itu pun bermula.
Zali menarik upihnya itu sekuat hati. Berlari sehabis laju sehingga
 berpeluh. Dan sesekali Zali menoleh ke belakang. Khuatir jika Ramli tergolek atau tercicir. Tetapi Zali tahu, selagi upihnya itu terasa berat, selagi itulah Ramli ada bersamanya. Ramli pula galak menyorak dari belakang. “Cepat Zali! Cepat Zali!” sorak Ramli, cuba memberi semangat kepada pasangannya itu. Mereka agak ketinggalan sekarang.
Manap Buncit yang sedang mendahului perlumbaan itu menarik upih itu secara membabi buta. Seluruh tenaganya dialirkan ke tangan dan kakinya. Berlari sehabis pantas tanpa menoleh ke belakang. Sampai separuh jalan, Manap Buncit tidak menyedari Li tercicir dari upih. Li tergolek-golek di atas tanah hingga bajunya kotor. Li menjerit memanggil Manap Buncit supaya memungutnya semula. Tetapi jeritan Li itu tidak dapat didengar oleh Manap Buncit kerana ditenggelamkan oleh sorakan Ramli. Sehinggalah di
dua tiga langkah sebelum ke garisan penamat, barulah Manap Buncit menoleh ke belakang untuk melihat di mana Zali. Mata Manap Buncit terbelalak bila menyedari
upihnya kosong. Terkejut bila mendapati Li sedang menggeleng kepala sambil bersila di tengah-tengah lorong perlumbaan itu. “Patutlah berasa terlalu ringan,” kata Manap Buncit pada dirinya sendiri sebelum berlari laju macam lipas kudung untuk memungut Li.
Jalut yang masih di garisan mula itu tergelak seronok. Gelihati dengan apa yang berlaku di hadapannya itu.
Zali bersama Ramli melintasi garisan penamat itu terlebih dahulu. Mereka berpelukan dan menari-nari. Jalut berlari ke garisan penamat. Terus mengambil tangan Zali dan Ramli sebaik sampai. Kedua-dua tangan itu dijulangnya ke atas sambil menjerit : “Zali, Ramli, juara ye. Zali, Ramli, juara ye. Zali, Ramli, juara ye.”
Zali dan Ramli tersenyum bangga sambil berjabat tangan dan mengucapkan tahniah antara satu sama lain.
Manap Buncit dan Li tidak mahu menamatkan perlumbaan itu. Berhenti di tiga per empat perlumbaan setelah mendapati lawan mereka sudah sampai ke garisan penamat. Tiada semangat sukan langsung.
Manap Buncit mendengus bengang, tidak puas hati. Li pula mengeluh panjang. Kemudian pasangan itu saling salah menyalahkan.
“Kita lawan lagi. Aku tak puas hati,” ajak Manap Buncit.
Zali dan Ramli menyahut cabaran Manap Buncit itu.
“Ke garisan…” jerit Jalut sebaik mendengar Zali dan Ramli menyambut cabaran Manap Buncit itu.
Zali, Ramli, Manap Buncit, Li dan Jalut bergerak ke garisan mula. Jalut ambil tempatnya seperti tadi. Manakala dua pasangan itu bertukar tempat. Kata Manap Buncit,
kononnya bahagian yang dilaluinya tadi sial. Manap Buncit berpesan kepada Li supaya memegang tepi upih itu ketat-ketat. Jika Li terjatuh lagi, tapak kakinya ringan hendak menyepak buntut Li. Li mengangguk faham. Terasa gentar juga dengan ugutan Manap buncit itu.
“Sa---tu. Du---a, tiga kucing berlari. Mana nak sama si kucing belang…”
Zali dan Manap Buncit tidak mudah tertipu lagi dengan usikan Jalut itu. Kedua-duanya tidak terlajak menarik upih. Mata mereka memandang Jalut dengan rasa geram. Manap Buncit mula bertindak hendak menghentam Jalut. Jalut yang sedang terloncat-loncat mengejek itu sudah bersedia untuk membuka langkah seribu. Terus menyanyi, “Dua tiga boleh kucari. Mana nak sama Siah seorang!” Tetapi langkahnya itu tidak menjadi bila emak Zali, Mak Su, yang muncul dari atas beranda itu, menegur.
“Siapa yang engkau puja tu Jalut?” tanya Mak Su.
Manap Buncit terpaksa mengambuskan hajatnya untuk menghentam Jalut.
Jalut tersenyum mengejek Manap Buncit. Dan kemudian tersipu-sipu malu bila matanya tertembung dengan mata Mak Su.
“Siapa Jalut? Budak perempuan mana yang engkau sebut tadi?” tanya Mak Su lagi.
Jalut tidak menjawab. Masih malu-malu kucing. Jawapan untuk soalan Mak Su itu diberi oleh Zali. “Dia sukakan Su, mak. Anak pak imam kita tu. Jiran sebelah kita ni. Dia kata dia nak kah …”
Jalut memintas kata-kata Zali itu. “Dia pun apa kurangnya makcik. Dia nak pada Jamilah.” Kemudian Jalut menjelaskan bila dilihatnya muka Mak Su berkerut, “Anak ketua pejabat pos tu, makcik.”
Mak Su mengangguk. Jelas dengan penjelasan Jalut. “Betul ke, Zali?” tanya Mak Su. Tiba-tiba sahaja perbualan itu terarah kepada Zali.
Zali merenung muka Jalut. Jalut mengangkat bahu sambil tersengih. Zali mengetap gigi kerana geram. “Mana ada, mak. Jamilah tu yang nak pada Zali. Zali tak nak dia,” jawab Zali, cuba mempertahankan diri.
Semua itu gosip sahaja. Zali tidak pernah ada hati pada Jamilah. Malah tidak ada hati pada mana-mana budak perempuan pun. Memang Jamilahlah yang ada hati pada Zali. Buktinya, Jamilah letak sebiji gula-gula di dalam laci meja sekolahnya setiap hari. Beritahu Husna, kawan Jamilah. Mereka sendiri pernah mengintip dan memang benar. Dan Jamilah tidak pernah terlupa untuk memberinya kad hari raya dan hari jadi untuk Zali sejak dua tahun yang lalu.
“Tipu! Tipu!” bangkang Jalut. Sengaja hendak mengenakan Zali. Hati Jalut tidak senang jika tidak mengenakan orang sehari.
Mak Su tergelak. Tercuit dengan gelagat anak-anak di depannya itu. “Betul ke tipu? Zali, tak baik menipu. Manusia mungkin tak tahu tetapi Allah tahu,” ingat Mak Su.
Zali menggaru dahinya yang tidak gatal. “Zali cakap betul, mak. Jamilah tu yang lebih-lebih macam Si Jalut ni juga. Tak ada seorang pun budak perempuan yang Zali suka. Zali nak belajar rajin-rajin dulu. Masuk sekolah sains. Pergi universiti dan
dapat jadi jurutera. Bila dapat gaji besar, Zali nak belikan emak barang-barang kemas dan baju-baju cantik. Lepas tu barulah Zali nak kahwin,” jelas Zali.
Penjelasan Zali itu menjadi modal untuk Jalut mengusik lagi. “Kahwin dengan siapa? Jamilahlah kan?”
Zali merenung muka Jalut. Geram bagai hendak ditelannya Jalut. “Aku, aku, aku nak kahwin dengan perempuan pilihan mak aku. Baru boleh bahagia,” jawab Zali, yakin.
“Ooo,” Jalut meng’o’ panjang. “Jadi, Jamilah nak beri pada siapa?”
Zali pandang Manap Buncit yang membisu bersama Ramli dan Li. “Beri saja pada Manap,” kata Zali.
Jalut teliti Manap Buncit dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Menggeleng-geleng kepala sebelum tergelak kecil. “Jamilah tu cantik macam tuan puteri. Takkan nak beri pada budak buncit ni,” kata Jalut selamba setelah berlakon meneliti Manap Buncit.
Manap Buncit yang panas baran segera melepaskan upih yang masih dipegangnya. Mengejar Jalut yang sudah pun melarikan diri terlebih dahulu. Mereka berkejaran di sekeliling pasu bunga, pangkin, pokok rambutan dan kelapa. Diacah dan diejek membuatkan Manap Buncit bertambah sakit hati. Manap Buncit sudah pun mengambil seketul batu untuk menuju Jalut tetapi kelakuannya itu ditegur oleh Mak Su.
“Manap… Jalut tu acah-acah saja. Tak elok kalau ambil hati. Mari, mari tolong makcik ambil pisang goreng dan teh panas di dapur. Boleh kita minum petang sama-sama,” pujuk Mak Su yang sudah pun berdiri semula. Menanti kejar mengejar itu habis sebelum ke dapur.
Manap Buncit yang memang lapar melupakan terus sakit hatinya kepada Jalut. Berlari ligat ke dapur.
Mak Su tersenyum. Naik ke atas rumah dan kemudian turun ke dapur. Bila sampai di dapur, didapatinya budak-budak itu sudah pun mengerumuni sinki untuk membasuh tangan. Kemudian mereka berebut hendak membawa pisang goreng yang hanya sepinggan besar dan teh panas yang seteko cuma itu.
Mak Su geleng kepala. “Hah, Siapa yang bawa cucur udang semalam?”
“Zali, mak,” jawab Zali perlahan. Sepinggan besar pisang goreng itu diserahkannya kepada Ramli. Zali mengerti apa maksud emaknya. Ramli tersenyum lebar.
Mak Su tersenyum. “Siapa pula yang bawa teh o panas semalam?”
“Li, Mak Su,” Manap Buncit yang memegang seteko teh panas itu menjawab. “Giliran sayalah kali ni kan, Mak Su?” tanyanya lagi.
Mak Su mengangguk.
Manap Buncit tergelak. “Aku dah cakap. Aku dah cakap. Tak percaya. Memang giliran aku,” kata Manap Buncit kepada Li. Li mencebik.
“Sudah, sudah. Bawa semua tu keluar. Zali, Li dan Jalut tolong bawa cawan,” arah Mak Su.
Zali, Li dan Jalut mengikut perintah Mak Su itu.
Mereka duduk di pangkin dan menjamah minuman petang. Dipayungi oleh daun-daun pokok rambutan yang merendang. Sambil makan mereka bersembang.
“Kenapa Jalut sukakan Siah tu?” tanya Mak Su, merenung muka comot Jalut. Mak Su memang gemar melayan ragam mereka. Zali memang anaknya. Tetapi sudah juga menganggap budak-budak yang lain itu seperti anaknya juga.
Manap Buncit yang menjawab selepas Jalut kekeringan kata kerana masih malu-malu kucing. “Dia kata Siah tu cantik, Mak Su.”
“Betul ke Jalut?” tanya Mak Su, merenung semula muka Jalut.
Jalut tersengih macam kerang busuk. Menampakkan sebatang dua gigi hitamnya yang sudah dimakan ulat. Tersipu-sipu malu. Tahu juga malu. Namun tetap menokok : “Saya memang sukakan Siah tu, Mak Su. Siah tu cantik macam permaisuri.”
Mak Su tersenyum, mengangguk, kemudian mencicip teh panas dari cawan. “Usah pilih perempuan sebab dia cantik saja. Rupa yang cantik boleh hilang,” kata Mak Su, memberi nasihat. Anak-anak seusia dua belas tahun seperti yang ada di depannya itu sudah mampu berfikir.
“Habis tu, Mak Su?” tanya Li untuk pihak Jalut yang merah mukanya.
“Cari perempuan yang beragama dan berbudi bahasa,” jawab Mak Su.
“Cantik?” tanya Jalut, tidak berapa faham.
“Kalau dapat yang beragama, baik budi bahasa dan cantik, itu lagi bagus,” jawab Mak Su. “Cantik tak kekal. Tengok macam makcik ni. Dah berkedut,” jelas Mak Su lagi.
“Tapi Mak Su nampak cantik lagi,” sambut Li. Berkata jujur.
Mak Su tersenyum sahaja. Zali menyambut : “Mak aku memang cantik. Bagaikan bidadari.”
Jalut pula tersengih dan kemudian berkata : “Betullah dengan pilihan aku ni. Siah tu memang cantik, baik dan pandai baca Quran.” Selepas itu Jalut meloncat seronok di atas pangkin hingga teh panas di dalam cawan-cawan berkocak.
Manap Buncit mencebik kerana meluat. Ramli menjuihkan mulut kerana menyampah. Manakala Zali, Li dan Mak Su geleng kepala. “Perasan!” kata Manap buncit kemudian. Disertai ketawa berdekah Zali, Li dan Ramli. Mak Su tersenyum panjang. Sementara Jalut tersengih terkial-kial. Bersambung pada Isnin 31 Jun 2010

5 ulasan:

  1. nape tak isi kotak jerit???

    BalasPadam
  2. kitatauke kotak jerit sudah ada di laman blog saya. Terima kasih kerana mengingatkan...

    BalasPadam
  3. uuwwwwaaa...aku tak suke tgok drama sambung2...aku suke tgok citer dr mule & trus abih...hai,bile la si hero zali ni nk beso???

    BalasPadam
  4. hhuhuhuu... leh tahan bakat ko bro, best cerita ni aku layan... sambung2 kasi suspend...

    BalasPadam