Jumaat, 3 Disember 2010

Novel

Pemberitahuan!!!

Novel aku bakal keluar bulan ini. Tajuknya Kau Pertama Aku Kedua. Di bawah label Alaf 21. Harap maklum.

Rabu, 2 Jun 2010

Pemberitahuan

Blog ini akan diberhentikan operasinya. Semua kandungan blog ini akan dipindahkan ke blog saya yang lain : http://fitrihussin.blogspot.com/  Langkah ini diambil kerana selalu terdapatnya masalah teknikal Harap maklum. Jika anda termasuk atau dihalakan ke blog ini sila sertai saya di http://fitrihussin.blogspot.com/ Novel Bersiri TLC diteruskan di situ!

Ahad, 30 Mei 2010

Novel Bersiri Tiada Lagi Cinta (Bahagian 2) Karya Fitri Hussin

1.2
Matahari tenggelam dan kumpulan-kumpulan burung pulang ke sarang. Bulan timbul dan bintang mintang yang berkerlipan pun bertaburan di dada langit hitam. Sekarang malamlah sudah.
Jam sepuluh setengah malam. Suasana sunyi benar selain suara cengkerik menjering-jering. Kampung itu memang cepat mati. Cepat pula hidup di awal pagi. Orang bekerja estet bergerak seawal empat pagi untuk ke estet dengan mengayuh basikal dua tiga kilometer dari rumah. Di tengah-tengah rumah kayu itu berdiri sebuah kelambu putih. Keadaan di dalamnya samar-samar. Lampu di ruang tengah itu sudah ditutup. Kini mengharap percikan sinar lampu dari ruang dapur. Memang sengaja dibuat begitu kerana Zali tidak dapat tidur dalam terang.
Di dalam kelambu itu, kelihatan dua anak beranak. Zali sudah pun lena. Sementara Mak Su sedang mengusap rambut anaknya itu. Kini hatinya tersentuh mengenangkan kata-kata Zali petang tadi. Kata-kata Zali itu bukanlah kali pertama
didengarnya. Sudah banyak kali tetapi setiap kali itu hatinya tetap tersentuh. Mak Su merasa bertuah kerana mempunyai anak seperti Zali dan Zainal, abang Zali. Bagi Mak
Su, kedua-dua anaknya itulah yang menjadi permata hati untuknya. Kerana itu, Mak Su cuba membesarkan mereka sebaik mungkin. Diberi didikan dunia dan akhirat secukupnya
supaya anak-anaknya itu nanti dapat menjadi manusia yang berguna kelak. Manusia yang dapat menabur bakti untuk agama, bangsa dan negaranya. Itulah impian Mak Su. Mak Su tidak berharap emas atau intan. Cukup sekadar itu.
Sejak Pak Su, suaminya yang juga seorang bekas guru besar itu, meninggal dunia kerana serangan jantung, soal menjaga anak-anak itu memang terbeban di pundaknya seorang. Ada beberapa duda kaya yang masuk melamarnya tetapi semua lamaran itu ditolak. Mak Su tidak mahu memperjudikan nasib anak-anaknya itu. Pencen arwah suaminya dan duit pajak kebun kelapa mereka itu cukup menampung hidup mereka anak beranak. Upah mengajar mengaji pula sedikit sebanyak ada membantu.
Bagi seorang emak, pengorbanan untuk anak-anak adalah kewajipan. Kebahagiaan anak-anak yang paling diutamakan. Anak bahagia, dia pun ikut bahagia. Anak derita, dia pun sama derita.
Mak Su merebahkan badannya di sisi Zali. Membaca Al-Fatihah, An-Nas, Al-Falaq, Al-Ikhlas dan doa tidur sebelum melelapkan mata. Selepas itu Mak Su pun lena dengan aman.
Di luar, selain cengkerik yang makin menjering-jering, kini sayup-sayup terdengar bunyi burung hantu. Satu-satu dan menyeramkan.


Bab 2


2.1
Tiga belas tahun kemudian…

Rabu, 26 Mei 2010

Novel Bersiri Tiada Lagi Cinta : Bab 1 (Bahagian 1)



Bab 1
1.1
Petang itu sungguh indah. Langit biru yang terbentang menyerkup alam itu ditompoki oleh awan-awan putih nipis di sana sini. Percikan-percikan warna itu menawarkan pemandangan tercantik untuk santapan setiap mata yang mahu merenung. Sang mentari tidak lokek bersinar. Beberapa kumpulan burung sedang terbang melayah-layah di dada langit itu. Menghidupkan langit yang tadi kelihatan seakan kejang tanpa kelibat mereka. Dan di tanah, di sebuah halaman rumah, keadaan begitu meriah juga. Halaman rumah itu meriah oleh pelbagai ragam dan suara anak-anak. Anak-anak yang sentiasa riang tidak kira apa yang melanda.
Halaman rumah itu besar. Bertanah tanpa sehelai rumput pun. Kiri kanannya dipagari oleh sebaris pokok kelapa kampung dan renik. Di depan dan keliling beranda, pelbagai jenis pokok bunga kertas pelbagai warna yang ditanam di dalam pasu-pasu bunga tersusun rapi. Di atas beranda itu, pelbagai pokok bunga seperti subang berlian dan orkid tergantung di dalam pasu-pasu kecil yang amat comel. Di tengah-tengah halaman rumah itu kelihatan sekumpulan lima orang budak.
Mereka sedang berbincang untuk berlawan tarik upih. Dua keping upih sudah pun mereka perolehi dari pokok pinang di belakang rumah Opah Semah. Dan kepingan-kepingan upih itu sudah pun berada di tangan Zali dan Manap Buncit. Yang menjadi
perbincangan sekarang ialah siapa yang akan menjadi pasangan untuk Zali dan Manap Buncit itu. Mereka berdua berebutkan Li yang kurus sedikit berbanding Ramli. Masing-masing tidak mahu membawa beban berat lebih. Masing-masing tidak rela kalah.
Akhirnya, perebutan itu diputuskan melalui ‘kopi’. Itu jalan akhir terbaik setelah cara diplomasi tidak berguna lagi. Zali dan Manap Buncit mula menyorokkan genggaman jari kanan mereka di belakang badan masing-masing. Zali memilih ‘ko’. Manakala Manap Buncit memilih ‘pi’.
“Ko---” kata Zali, memulakan penentuan itu, “—pi!”
Serentak itu Zali dan Manap Buncit menunjukkan bilangan jari yang sudah difikirkan mereka sebelum itu. Zali mengeluarkan empat batang jari dan sebatang jari lagi disimpannya di bawah tapak tangan. Dan Manap Buncit pula dengan dua batang jari terjulur keluar dan tiga batang jari lagi disembunyikannya di bawah tapak tangan.
Zali melakukan tugas seterusnya untuk menentukan siapa yang menang untuk pusingan pertama itu. “Ko, pi, ko, pi, ko dan …” Zali mendegus lebih awal. Tahu dirinya kalah. “… pi,” sambungnya.
Manap Buncit ketawa kuat-kuat. Melompat seronok macam kera dapat bunga. Gembira tidak terkata kerana menang. Biarpun kemenangannya itu belum kemenangan mutlak. Bagi anak kecil seperti Manap Buncit, sedikit kemenangan adalah kegemilangan yang tak terucap.
“Lagi dua kali,” tegur Zali. Mengingatkan Manap Buncit supaya tidak berpesta terlalu awal.
Manap Buncit mengangguk faham. “Kalau aku menang sekali lagi habislah engkau …” balas Manap Buncit, melancarkan perang saraf.
“Cepat! Cepat!” arah Jalut yang berlagak sebagai pegawai perlumbaan.
Penentuan pusingan kedua pun berlangsung. Dan Manap Buncit memang berhak untuk berpesta awal tadi kerana menang lagi untuk pusingan kedua ini. Kali ini Manap Buncit berpesta pora. Berlari sekeliling Zali sambil menjelir-jelirkan lidah, mengejek-ngejeknya. Li rasmilah sudah menjadi pasangan Manap Buncit. Sementara Ramli pula sahlah sudah menjadi pasangan Zali. Zali tidak membantah apa-apa selepas itu. Keputusan sudah dicapai dengan adil. Mengeluh selamanya tidak akan membawanya ke mana-mana. Zali tidak akan mengalah hanya kerana terpaksa berpasangan dengan Ramli yang berisi sedikit. Zali nekad untuk memastikan kemenangan berpihak kepadanya. Zali memang jenis anak yang tidak mudah putus asa. Semangat melawan itulah yang membolehkannya cemerlang di dalam pelajaran dan sukan.
Perlumbaan tarik upih itu dimulakan beberapa saat kemudian.
“Sa---tu. Du---a. Ti---” Jalut berhenti membilang. Enggan melepaskan perlumbaan tarik upih itu. Ada idea nakal yang terjun menjunam ke dalam kepalanya. “Satu. Dua. Ti---ga kucing berlari. Mana nak sama si kucing belang. Dua tiga boleh kucari. Mana nak sama Siah seorang!” kata Jalut, menyanyikan serangkap pantun rakyat itu sambil meloncat-loncat seronok macam beruk. Jalut memang sukakan Siah, anak pak imam Leman yang duduk di rumah sebelah. Pernah memberitahu kawan-kawan yang dia
hendak berkahwin dengan Siah bila besar nanti. Tengah kumpul duit dalam tabung buluh. Bila duitnya cukup, akan disuruh emaknya pergi masuk meminang Siah cepat-cepat.
Zali yang sudah terlajak berlari ke hadapan terhenti dari menarik upih yang diduduk oleh Ramli itu. “Hoi! Cop, cop. Apa ni Jalut? Sebutlah betul-betul,” kata Zali, terganggu dengan usikan Jalut itu, kembali ke garisan mula. Dalam situasi begitu, kecerdikan mengambil tempat. Zali tahu kalau dia meneruskan juga larian itu tentunya kekalahan dalam genggamannya. Manap Buncit berlepas baik tadi sedangkan dia tertegun-tegun dek usikan Jalut.
Manap Buncit segera memberhentikan lariannya. Mendengus kuat. Tidak puas hati kerana sudah mendahului Zali lebih dua langkah. Berpusing dan menarik upih ke garisan mula sambil mulutnya kumat kamit merungut. Li pula kelihatan seronok. Seronok ditarik oleh Manap Buncit. Tetapi ketawa kecilnya itu sirna bila ditengking : “Hoi, turunlah! Engkau ingat aku ni apa? Kuli?” Manap Buncit membeliakkan matanya. Li bangun sambil tersengih-sengih. Berjalan bersama Manap Buncit ke garisan mula. Bila sampai di situ, Manap Buncit terus memberi amaran kepada Jalut. “Dua, tiga, kucing berlari, ya? Engkau nampak ni? Kena sekali bertabur gigi,” kata Manap Buncit sambil menunjukkan sekepal penumbuk ke arah Jalut yang sudah tersengih-sengih. “Jangan salahkan aku kalau penumbuk ni lekat di muka engkau nanti,” sambung Manap Buncit lagi.
Jalut mengangguk. Jalut tahu Manap Buncit jarang bermain-main. Pembuli itu cakap serupa bikin. Dan kali ini Jalut akan lebih bersungguh-sungguh. Tidak mahu mengacah lagi. Cukuplah sekali. Dua kali, silap-silap rongak.
“Ke garisan…” jerit Jalut sambil berdiri bersetentang dengan satu garisan lurus lintang yang dilukis oleh Zali di atas tanah tadi.
Zali dan Manap Buncit ambil tempat masing-masing. Bersedia di garisan mula itu macam atlet 1 500 meter hendak memulakan perlumbaan. Genggam hujung upih erat-erat dan mengarah pasangan masing-masing memegang ketat-ketat tepi upih. Selepas itu, Zali dan Manap memfokus ke hadapan. Sengaja mencabar diri dengan melihat garisan penamat yang ditandai oleh dua ketul batu sebesar penumbuk anak-anak itu.
“Sa---tu. Du---a. Ti---,” Jalut berhenti mengira. Mengosongkan tekaknya yang tiba-tiba dipenuhi kahak. Kemudian menyambung kira selepas membuang setompok kahak kental itu ke tanah. “Ti---ga!!!”
Perlumbaan tarik upih antara Zali-Ramli dan Manap buncit- Li itu pun bermula.
Zali menarik upihnya itu sekuat hati. Berlari sehabis laju sehingga
Novel Bersiri Tiada Lagi Cinta (TLC) akan mula terbit ESOK!

'Petang itu sungguh indah. Langit biru yang terbentang menyerkup alam itu ditompoki awan-awan putih nipis di sana sini. Sang mentari tidak lokek bersinar. Beberapa kumpulan burung sedang terbang melayah-layah di dada langit itu. Memberi hidup pada langit yang amat luas itu. Dan .....' dipetik dari Bab 1, Bahagian 1, TLC.

Selasa, 25 Mei 2010

Tarikh Terbit Novel Bersiri Tiada Lagi Cinta (TLC)

Novel Bersiri Tiada Lagi Cinta akan terbit bermula Khamis ini, 27 Mei 2010. Tunggu.....

'Cinta bukan saja cenderung untuk buta tetapi sewel juga. Cinta yang sewel adalah cinta yang sakit.'

Isnin, 24 Mei 2010

Salina



Novel ini mengisahkan tentang seorang perempuan bernama Siti Salina yang mengharungi hidup di Singapura selepas Perang Dunia Kedua di Singapura sekitar tahun 1960an. Dia menjadi pelacur untuk meneruskan hidup. Walaupun diselubungi kontrovesi kerana membela Fakar, teman lelaki yang sudah seperti suaminya, Salina juga berjiwa besar. Dialah yang tidak putus-putus-putus memberi semangat dan wang kepada Hilmi, watak sampingan utama di dalam novel ini, iaitu seorang pelajar bijak untuk terus menuntut ilmu. Hilmi yang tinggal bersama ibunya yang tua itu pula selalu mempertahankan Salina daripada umpatan dan cemuhan penduduk kampung. Akhirnya Salina insaf dan berusaha untuk mengubah diri. Bersama Hilmi dia merancang untuk memulakan sebuah perniagaan.
Secara keseluruhannya Salina mengisahkan tentang kehidupan masyarakat khususnya melayu selepas Perang Dunia Kedua di Singapura. Ia menggambarkan kemiskinan, keruntuhan moral dan keperitan untuk meneruskan hidup watak-wataknya selepas perang di sebuah kawasan yang dipanggil Kampung Kambing kerana rumah-rumah di situ asalnya adalah kandang-kandang kambing. Ia juga mengingatkan kita kepada kepentingan pendidikan sebagai alat untuk mengubah kehidupan kita seperti yang ditonjolkan pada watak Hilmi. Kisah Salina, saya percaya, adalah kisah kehidupan kita semua - yang tak semua putih dan tak semua hitam -tetapi kelabu.
Salina, sebuah karya terbaik A. Samad Said, yang sudah memenangi pelbagai anugerah ini, tidak diragukan lagi adalah antara karya agung Malaysia. Yang menariknya ialah Salina mendahului karya-karya lain pada zamannya. Ia sofistikated yang menawan dan mudah. Wajib dibaca oleh setiap anak Malaysia.
Buat A. Samad Said : Salut tiga kali untuk pak.

Sabtu, 22 Mei 2010

Novel Bersiri Tiada Lagi Cinta


Zali membuang keluarganya demi cintanya terhadap Natasha. Natasha mengkhianati cinta Zali bila lelaki itu mulai kesempitan wang. Hati Zali remuk. Bertemu dengan Ana hidupnya bersinar semula. Percintaan Zali dan Ana mula diduga dengan kemunculan semula Natasha. Sejak itu Zali dan Ana diduga tidak putus-putus bukan saja oleh Natasha tetapi juga Mazni.

'Cinta bukan saja cenderung untuk buta tetapi sewel juga. Cinta yang sewel adalah cinta sakit.'

Pengarang : Fitri Hussin.

























Jumaat, 21 Mei 2010

Maryamah Karpov





Maryamah Karpov adalah novel terakhir di dalam Tetralogi Laskar Pelangi. Intinya tentang pengembaraan Ikal mencari Ai Ling, cinta pertamanya. Ikal dibantu oleh sahabat-sahabat lamanya, Laskar Pelangi dan teman-teman dari societiet de lampai. Dengan bantuan mereka terutamanya Lintang dan Mahar untuk membuat kapal yang digelar 'mimpi-mimpi lintang' maka pengembaraan mencari Ai Ling berjaya direalisasikan. Mereka bertemu dengan Tuk Bayan Tula dan Dayang Kaw dan akhirnya berjaya menyelamatkan Ai Ling daripada tahanan seorang lanun bernama Tambok. Ikal mahu melamar Ai Ling tetapi hasratnya itu dibantah oleh ayahnya. Akur dengan keputusan ayahnya dan cintanya dengan Ai Ling tidak kesampaian.
Ada juga cerita tentang pertemuan semula Ikal dan Arai. Arai akhirnya bernikah dengan Zakiah Nurmala.
Maryamah Karpov meneruskan semangat novel-novel di dalam Tetralogi Laskar Pelangi. Ia mengekalkan 'canggih yang indah' Tetralogi Laskar Pelangi. Dan seperti ulasan A.Samad Said di muka hadapan novel tersebut : "Kisah ilmu yang mengilhamkan di tengah ilmuwan yang menyedarkan. Selepas 'Laskar Pelangi' kehadiran 'Maryamah Karpov' ini sangat disambut. Ternyata karya terbaru Andrea Hirata ini semakin ranum malah mengagumkan."
Sejujurnya Maryamah Karpov disamping menyudahkan pertanyaan-pertanyaan lampau juga menimbulkan persoalan-persoalan terbaru. Yang paling ketara ialah mengapa Arai seperti terasing daripada Laskar Pelangi selain Ikal. Dan juga mengapa tajuk novel ini tidak selari dengan isinya - Maryamah Karpov bukan watak utama dan hanya muncul beberapa kali di dalam novel tersebut. Dan beberapa hal lain yang tidak mungkin ditemui jawapannya secara tepat jika memang benarlah Tetralogi Laskar Pelangi tamat pada novel Maryamah Karpov ini.
Apapun salut memang wajar diberi kepada pengarangnya, Andrea Hirata. Dan Tetralogi Laskar Pelangi sewajibnya ditimbangkan sebagai salah sebuah novel terbaik Indonesia sepanjang zaman. Dan Maryamah Karpov pula memang berhak menjadi 'International Best Seller' di Indonesia.

Pengarang : Andrea Hirata
Penerbit : PTS Litera

Edensor


Edensor adalah novel ketiga di dalam Tetralogi Laskar Pelangi. Novel ini mengisahkan tentang pengembaraan Ikal di dalam mengejar mimpinya. Ikut bersamanya ialah saudara jauhnya, Arai. Berjaya mendapat tempat di Universiti Sorbonne, Perancis. Tinggal di sebuah apartmen berdekatan dengan Menara Eiffel. Mereka meniti kehidupan di situ dengan penuh halangan, nekad dan semangat dek kerana kejutan budaya. Di situlah Ikal bertemu dengan Katya, dewi di situ, biarpun dia belum dapat melupakan Ai Ling, cinta pertamanya itu. Akhirnya mereka hanya bersahabat. Dari sinilah mereka dapat mengembara hingga ke benua Afrika. Menghirup pengalaman yang kadang-kadang memeritkan, mencengangkan, melucukan dan mengharukan.
'Aku ingin mendaki puncak tantangan, menerjang batu granit kesulitan, menggoda marabahaya dan memecah misteri dengan sains. Aku ingin menghirup berupa-rupa pengalaman lalu terjun bebas menyelami labirin liku-liku yang hujungnya tak dapat disangka. Aku medamba kehidupan dengan kehidupan-kehidupan yang bereaksi satu sama lain seperti benturan molekul uranium : meletup tak terduga-duga, menyerap, mengikat, mengganda, berkembang, terurai dan berpencar ke arah yang mengejutkan. Aku ingin ke tempat-tempat yang jauh, menjumpai beragam bahasa dan orang-orang asing. Aku ingin berkelana, menemukan arahku dengan membaca bintang gemintang. Aku ingin mengharungi padang dan gurun-gurun, melepuh terbakar matahari, limbung dihentam angin, dan menciut dicengkeram dingin. Aku ingin kehidupan yang menggetarkan, penuh dengan penaklukan. Aku ingin hidup! Ingin merasakan saripati hidup!'
Endesor, seperti Laskar Pelangi dan Sang Pemimpi meneruskan kecanggihan yang indah Tetaralogi Laskar Pelangi. Ceritanya sangat menawan, mudah menghanyutkan imaginasi pembaca dan sekaligus menjadikannya layak sekualiti dua novel sebelumnya di dalam Tetralogi Laskar Pelangi itu.
Pengarang : Andrea Hirata
Penerbit : PTS Litera

Sang Pemimpi

Sang Pemimpi ialah novel kedua dalam Tetralogi Laskar Pelangi karangan Andrea Hirata. Novel kali ini lebih tertumpu pada watak Arai dan aku, watak-watak yang tidak atau tidak berapa ditonjolkan di dalam Laskar Pelangi, novel pertama di dalam Tetralogi Laskar Pelangi. Ia menceritakan tentang Arai, seorang kanak-kanak miskin dan yatim piatu yang dipelihara oleh saudara jauh dan aku yang memiliki kemahuan yang tinggi untuk mencapai mimpi-mimpi mereka. Tak kurang juga watak Jimbron yang mencuti hati dengan kegilaannya kepada kuda. Novel ini memang menginspirasikan, menyentuh perasaan dan boleh buat pembaca ketawa.
Sang Pemimpi meneruskan kehebatan Laskar Pelangi. Dan seperti Laskar Pelangi, ianya : Novel canggih yang indah.
"Tanpa mimpi, orang seperti kita akan mati..."


Pengarang : Andrea Hirata
Penerbit : PTS Litera

Khamis, 20 Mei 2010

Laskar Pelangi


Laskar Pelangi adalah novel pertama dalam tetralogi Laskar Pelangi. Ia mengisahkan tentang sebelas orang anak melayu Belitong yang digelar sebagai Laskar Pelangi oleh guru mereka, Ibu Muslimah, kerana kesenangan mereka terhadap pelangi, yang menempuhi pendidikan dasar dan menengah dengan pelbagai halangan tanpa menyerah kalah. Watak yang paling menonjol di dalam novel ini ialah Lintang dan Mahar. Lintang, si genius dan Mahar seniman cilik yang menggemparkan, memberi begitu banyak warna di dalam novel ini. Kisah mereka berdua selalunya memberi ketawa berdekah dan sedih lara yang berkesan kepada pembaca. Begitu juga dengan sembilan orang kawan-kawan lain yang turut memaknakan novel ini.
Novel ini saya kira seperti kata sesetengah pengkritik memang terlalu dibesar-besarkan kehebatannya. Walaupun begitu, berdasarkan pada keseluruhan penyampaiannya ia tetaplah sebuah novel yang hebat. Barangkali jika tidak keterlaluan bolehlah disenaraikan di dalam karya-karya agung Indonesia seiringan dengan Tetaralogi Bumi Manusia oleh Pramoedya Ananta Toer dan lain-lain.
Dalam bahasa ringkas, Laskar Pelangi adalah : sebuah novel canggih yang indah.
Pengarang : Andrea Hirata
Penerbit : PTS Litera